,

Siti Nurhaliza Tunai Permintaan Peminat, Konsert ‘Beraya Dengan Saya’ Kini Boleh Ditonton Secara Online Streaming!

KUALA LUMPUR โ€“ Kerinduan peminat untuk menyaksikan kehebatan vokal Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, kini bakal terubat apabila konsert Pentas Eksklusif Aidilfitri, Beraya Dengan Saya Dato’ Sri Siti Nurhaliza bakal dibawakan secara penstriman dalam talian tidak lama lagi.

Keputusan tersebut dibuat selepas pihak penganjur menerima lambakan permintaan daripada peminat yang terlepas peluang menyaksikan persembahan secara langsung pada 10 April lalu. Menurut hantaran terbaru Siti di laman Instagram miliknya, inisiatif ini bertujuan meraikan penyokong setianya dari serata pelosok dunia.

“Meskipun persembahan live Pentas Eksklusif Aidilfitri, Beraya Dengan Saya Dato’ Sri Siti Nurhaliza telah dipersembahkan dengan jayanya pada 10 April lalu, penganjur mendapat maklum balas dan juga permintaan daripada peminat-peminat yang tidak berkesempatan datang menonton serta peminat dari luar Malaysia untuk diadakan online streaming,” jelas beliau.

Menyahut permintaan tersebut, tempoh jualan tiket akan dibuka secara terhad bagi memastikan semua peminat berpeluang merasai suasana Aidilfitri bersama beliau.

“Bagi memenuhi permintaan, penganjur akan melancarkan jualan tiket online streaming selama tiga hari bermula 20 April, jam 3 petang sehingga 22 April 2026,” kongsinya lagi.

Apa yang menarik, peminat ditawarkan dua pilihan kategori tiket mengikut kesesuaian waktu masing-masing. Pelantun lagu Anta Permana itu turut memberikan kejutan buat pembeli tiket premium yang mahukan interaksi lebih dekat bersama beliau secara maya sebelum tayangan bermula.

“Online streaming bagi tiket satu hari (24 jam) diadakan pada 23 April bermula 8 malam dan bagi yang membeli tiket dua hari (48 jam) akan dapat menonton pada 23 dan 24 April, serta mendapat peluang istimewa untuk live zoom dengan Dato’ Sri Siti Nurhaliza pada 23 April, jam 7.45 malam,” tambahnya.

Bagi mereka yang tidak mahu terlepas peluang keemasan ini, tiket boleh mula dilanggan menerusi laman web rasmi Ticket2U. Siti turut menekankan bahawa platform digital ini adalah jambatan terbaik buat peminat antarabangsa yang sudah lama menantikan persembahan bertaraf eksklusif ini.

“Tiket boleh dilanggan diwww.ticket2u.com.my bermula jam 3 petang esok. Inilah peluang kepada semua peminat sama ada dari dalam atau luar negara menyaksikan semula persembahan Pentas Eksklusif Aidilfitri secara online streaming,” kata Siti mengakhiri hantarannya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *