SHAH ALAM – Penyanyi gen-Z yang terkenal dengan vokal ‘power’, Aisha Retno nampaknya sudah bersedia untuk melangkah ke fasa baharu dalam kerjaya seninya apabila memasang impian untuk beraksi di pentas teater muzikal paling berprestij, Puteri Gunung Ledang (PGL).
Aisha, 24, menyifatkan naskhah PGL bukan sekadar pementasan biasa, malah ia adalah impian masa kecilnya yang ingin direalisasikan menerusi sesi uji bakat yang bakal berlangsung pada 29 April ini.
“Memang impian saya untuk menyertai PGL. Dari kecil dulu saya menonton filem PGL. Bila dengar ura-ura teater muzikal ini akan dibuat semula pada Oktober ini, saya tak nak lepaskan peluang,” katanya optimis.
Sedar bahawa pentas teater menuntut kekuatan mental dan fizikal yang luar biasa, pelantun lagu Sutera ini tidak mahu mengambil mudah soal persediaan diri terutamanya melibatkan kualiti vokal dan lakonan secara langsung.
“Menjayakan teater muzikal bukannya mudah. Komitmennya besar, di mana kita kena menyanyi ‘live’ sambil berlakon. Saya perlu membahagikan masa dengan baik supaya cukup rehat,” ulasnya lagi mengenai cabaran yang bakal dihadapi.
Meskipun sedar ada suara-suara nakal yang mempersoalkan bakat lakonannya, Aisha tidak melatah sebaliknya menganggap itu sebagai ruang untuk dia terus memperbaiki diri.
“Memang saya akui ada yang cakap Aisha Retno tak pandai berlakon, tapi saya pernah berlakon cuma tak ‘master’ dalam bidang ini. Jadi mungkin ada beberapa perkara yang perlu saya perbaiki dan saya akan cuba. Tak salah mencuba,” katanya merendah diri.
Dalam masa yang sama, Aisha menjangkakan persaingan sengit bakal berlaku memandangkan naskhah arahan Puan Sri Tiara Jacquelina itu sentiasa menjadi rebutan ramai bakat besar dalam industri.
“Saingan pasti sengit sebab ramai di Malaysia ini yang berbakat, lagu-lagunya pun agak sukar. Saya juga seru orang ramai untuk turut sertai dan meriahkan uji bakat PGL ini,” tambahnya.
Baru-baru ini, industri seni dikejutkan dengan pengumuman Tiara Jacquelina yang mahu mencari barisan pelakon generasi baharu bagi menghidupkan semula watak ikonik seperti Puteri, Hang Tuah, Sultan, Adipati dan Bayan selepas lebih 20 tahun fenomena itu tercipta.


Leave a Reply