,

Aina Abdul Akui Pernah Terfikir ‘Gantung Mic’, Bakal Muncul Dengan Buah Tangan Baharu “Berjauhan”

aina-abdul

SHAH ALAM – Penyanyi vokal berdaulat, Aina Abdul, menyifatkan perasaan ingin menarik diri daripada pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) dan industri muzik sebelum ini sebagai satu pemikiran yang mementingkan diri sendiri.

Aina, atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, mendedahkan bahawa dia kini telah keluar daripada fasa mencabar yang dialaminya sepanjang tahun 2025, tahun yang disifatkannya sebagai sangat menguji ketahanan fizikal dan emosinya.

Banyak Perkara Belum Selesai

Mengulas mengenai desas-desus dia kecewa sehingga mahu berhenti bersaing, Aina menjelaskan bahawa dia kini melihat perkara tersebut dari sudut pandang yang berbeza.

“Siapa saya untuk kata tidak atau apa-apa? Saya rasa saya masih ada banyak perkara untuk ditunjukkan dan dilakukan dalam industri. Pemikiran (untuk berhenti) itu sangat mementingkan diri. Kalau saya berhenti, saya tidak akan dapat buat perkara-perkara yang saya rancang selepas ini,” katanya.

Tambah Aina, perasaan terluka itu memuncak selepas naskhah Puas Sudah, yang diakuinya memberi impak emosi yang sangat mendalam sehingga dia memilih untuk mendiamkan diri dan fokus kepada proses penyembuhan dalaman serta penulisan lagu.

Nafas Baharu Dari Indonesia

Memasuki tahun 2026, penyanyi ini tampil dengan semangat yang lebih segar. Sebagai simbolik kepada permulaan baharunya, Aina mengumumkan bakal melancarkan lagu terbaharu berjudul “Berjauhan” pada minggu hadapan.

Menariknya, lagu yang ditulis pada tahun lalu ini bakal menampilkan sisi berbeza Aina Abdul dari segi bunyi dan produksi.

Kali ini, Aina memilih untuk bekerjasama dengan penerbit dari Indonesia, Vega Antares, individu yang pernah bekerjasama dengan nama besar seperti Noah dan Sal Priadi.

Aina menjanjikan sesuatu yang berbeza daripada corak penulisan kreatifnya sebelum ini.

Walaupun tajuknya kedengaran seperti “berjauh hati”, Aina meminta peminat untuk menghayati liriknya terlebih dahulu bagi memahami maksud sebenar di sebalik naskhah tersebut.

Sedia Terima Kritikan

Sedar akan jangkaan tinggi peminat dan pemerhati muzik, Aina secara terbuka menyatakan rasa tidak sabar untuk mendengar maklum balas daripada netizen dan juri-juri di media sosial.

“Saya tak sabar nak dengar maklum balas semua, sama ada juri di Threads, cikgu-cikgu di TikTok dan media sosial yang lain. Secara peribadi, saya sangat bangga dengan lagu ini dan tak sabar nak perkenalkan kepada semua,” jelasnya lagi.

Lagu “Berjauhan” dijangka bakal menemui pendengar di semua platform digital dalam masa beberapa hari lagi.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *